Khamis, 21 November 2019 | 4:39pm
ORANG ramai menahan seorang lelaki yang berusia 26 tahun yang menyamar sebagai anggota polis di Jalan Hilir, Wakaf Bharu. - Foto ihsan pembaca

Gagal menyamar polis selepas diminta tunjuk kad kuasa

TUMPAT: Dua lelaki menyamar sebagai anggota polis sebelum memeras ugut seorang lelaki di Wakaf Bharu di sini, malam tadi.

Kedua-duanya menunggang motosikal jenis Yamaha Ego menahan mangsa ketika mahu pulang ke rumah di Jalan Hilir, Wakaf Bharu dari tempat kerja kira-kira jam 10.30 malam.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek berusia 26 tahun berjaya ditahan polis selepas dibantu orang awam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi, berkata ketika ingin memasuki lorong rumah, mangsa yang menunggang motosikal tiba-tiba didatangi dua suspek.

“Suspek menahan dan mencabut kunci motosikal mangsa sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan kad pengenalan serta telefon bimbit yang berada dalam poket seluarnya.

“Seorang suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menunjukkan gari, namun ketika mangsa meminta agar ditunjukkan kad kuasa, kedua-dua suspek segera melarikan diri,” katanya.

Ab Rashid berkata, dalam usaha melarikan diri, mangsa berjaya menolak suspek yang membonceng sehingga terjatuh, manakala seorang lagi terus memecut motosikalnya.

Katanya, mangsa juga mengalami kecederaan ringan akibat bergelut dengan suspek sebelum dibantu orang ramai menahan lelaki yang berusia 26 tahun dan berasal dari Kota Bharu.

Suspek kemudian ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Kesiksaan (KK), 170 KK dan 89 Akta Polis atas kesalahan memeras ugut, menyamar sebagai penjawat awam, dan memiliki gari.

Berita Harian X