Khamis, 21 November 2019 | 5:16pm
Saksi, Tan Sri Ambrin Buang hadir pada kes pindaan laporan Audit 1MDB yang dihadapi bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Penyediaan laporan pengauditan memakan masa setahun

KUALA LUMPUR: Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh lima bulan bermula Mac 2015 oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dilanjutkan hingga setahun.

Bekas Ketua Audit Negara (KAN), Tan Sri Ambrin Buang, berkata lanjutan tempoh penyediaan laporan pengauditan itu kerana kesukaran mengakses maklumat yang diperlukan untuk tujuan pengauditan.

Beliau ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata JAN diarahkan membuat pengauditan terhadap syarikat 1MDB selepas diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri, pada 4 Mac 2015.

Beliau berkata, JAN bagaimanapun berdepan kekangan di mana beberapa dokumen asal sama ada ditangguhkan atau tidak pernah diserahkan oleh 1MDB.

Jelasnya, dokumen itu penting untuk pengauditan bagi mengesahkan kedudukan sebenar kewangan dan operasi syarikat serta urus niaga yang berkaitan.

Ambrin berkata pengauditan itu dijalankan bagi menentukan penyata kewangan 1MDB diaudit di samping menilai prestasi kewangan dan aktiviti syarikat 1MDB sama ada menepati objektif asal penubuhannya atau tidak.

Beliau ketika membaca pernyataan saksi, berkata pengauditan dibuat selepas diberi mandat oleh jemaah menteri dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Antara objektif penubuhan 1MDB termasuk melabur dalam projek yang boleh membantu memacu inisiatif strategik untuk pembangunan mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

“Selain itu, syarikat 1MDB menggunakan rangkaian ‘sovereign wealth fund’ yang sedia ada di Timur Tengah dan China bagi membawa masuk pelaburan asing yang berpadanan untuk projek-projek negara,” katanya.

Menurut saksi keenam pendakwaan itu, pengauditan yang dijalankan oleh sepasukan 12 pegawai dari JAN memerlukan mereka mengakses dokumen berkaitan 1MDB seperti penyata bank daripada institusi kewangan luar negara.

Katanya, 1MDB tidak pernah menyerahkan dokumen berkaitan. Mereka juga tidak mendapat akses kepada komputer atau ‘server’ syarikat bagi membolehkan pasukan audit JAN menyemak maklumat semasa proses audit.

Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan di Jabatan Perdana Menteri berkata kesemua dokumen yang tidak diperoleh adalah penting untuk pengauditan bagi mengesahkan kedudukan sebenar kewangan dan operasi syarikat serta urus niaga yang berkaitan.

“Antara dokumen penting yang tidak pernah diterima daripada 1MDB termasuk akaun pengurusan syarikat itu bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 dan penyata bank daripada institusi kewangan luar negara.

“Tambahan lagi, tiada capaian dapat dibuat terhadap komputer, dan ‘server’ di 1MDB bagi mendapatkan data serta maklumat untuk tujuan rujuk silang dan analisis semasa pengauditan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan JAN pernah menghantar surat rasmi kepada Arul Kanda selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB bagi mengarahkan syarikat itu memberi kerjasama bagi membenarkan pasukan audit menyemak semua rekod dan dokumen termasuk data daripada sistem.

Terdahulu, Ambrin menjelaskan bahawa beliau mengarahkan laporan akhir itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mengelak kebocoran maklumat berlaku sekali lagi pada peringkat urusetia PAC.

Katanya, beliau memutuskan klasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 itu untuk mengelakkan laporan 1MDB disensasikan secara pra-matang.

“Berikutan itu, pihak 1MDB mengemukakan satu surat berkenaan isu pembocoran maklumat laporan interim terbabit kepada saya pada 22 Oktober 2015.

“Saya mengesahkan saya menandatangani pada surat itu dan sedikit catatan menyuarakan rasa dukacita daripada JAN kerana tidak mendapat dokumen penting (daripada 1MDB) selepas menunggu lama,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

Berita Harian X