Khamis, 21 November 2019 | 7:13pm

Bayi maut dicekik, ibu ditikam guna pemutar skru akibat cemburu

PUCHONG: Kejam! Seorang wanita sanggup mencekik bayi perempuan berusia tiga minggu selepas menikam belakang kepala ibu bayi berkenaan menggunakan pemutar skru dalam kejadian dipercayai bermotifkan cemburu di sebuah apartmen di Batu Caves, di sini pada Khamis lalu.

Bayi itu disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi kelmarin di Hospital Selayang selepas hampir enam hari bertarung nyawa, manakala ibunya dilaporkan masih koma.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi daripada seorang ahli keluarga mangsa.

“Dalam kejadian ini, mangsa yang juga seorang wanita berusia 30 tahun parah selepas ditikam menggunakan pemutar skru di bahagian belakang kepalanya, manakala bayinya dicekik suspek.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 25 tahun yang juga suspek utama kes dan pembantu rumahnya, seorang wanita berusia 19 tahun, pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan suami suspek yang berusia 27 tahun untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menyerang mangsa yang dikatakan ada hubungan sulit dengan suaminya sehingga melahirkan seorang anak. Kita turut menemui pemutar skru yang digunakan suspek menikam mangsa di lokasi kejadian.

“Dua suspek wanita itu direman selama empat hari bermula 15 hingga 19 November lalu sebelum disambung reman disambung semula selama lima hari sehingga 23 November ini untuk siasatan lanjut.

“Suami suspek pula direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” kata Fadzil.

Berita Harian X