Jumaat, 22 November 2019 | 4:02pm
RAKAMAN kejadian yang tular di laman sosial memaparkan seekor buaya membaham seekor anjing di Pantai Felda Sahabat 16 Lahad Datu. NSTP/Ihsan Pembaca.

Gempar aksi buaya baham anjing

LAHAD DATU: Penduduk Felda Sahabat 16, di sini gempar selepas melihat seekor buaya membaham seekor anjing di kawasan pantai berhampiran penempatan itu semalam.

Lebih mengejutkan, buaya berkenaan dilihat mampu menelan haiwan itu dalam tempoh kurang dari satu minit sebelum dikatakan beredar dari kawasan berkenaan.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu menjadi tular di laman sosial selepas berjaya dirakamkan penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar(JHL) Sabah, Augustine Tuuga ketika dihubungi mengesahkan kemunculan reptilia itu di kawasan berkenaan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Beliau menjelaskan kehadiran buaya berkenaan disedari kira-kira jam 7 pagi semalam sebelum dilihat berlegar di pantai berkenaan.

“Namun, buaya itu yang dipercayai naik ke pantai berjaya menerkam seekor anjing yang berada di tepi pantai.

Kami dimaklumkan buaya itu sering kelihatan di kawasan pantai berkenaan, terutama ketika air pasang,” katanya.

Augustine berkata, reptilia itu tidak pernah diganggu oleh penduduk dan pihak sudah mengenal pasti lokasi persembunyiannya.

“Selepas membuat pemeriksaan semalam, buaya berkenaan didapati menjadikan satu kawasan muara di pantai itu sebagai lokasi persembunyian. Susulan itu, kita sudah melakukan tindakan lanjut dengan memasang perangkap bagi menangkap buaya berkenaan,” katanya.

Katanya, papan tanda amaran juga sudah dipasang di kawasan itu sebagai langkah keselamatan.

Berita Harian X