Isnin, 25 November 2019 | 11:36am
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta yang dinaiki seorang lelaki yang ditemui rentung selepas terbakar di Jalan Tembaga 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, awal pagi ini. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat

Lelaki rentung terperangkap dalam kereta

PASIR GUDANG: Seorang lelaki rentung kerana gagal menyelamatkan diri apabila kereta dipandunya terbabas dan terbakar selepas melanggar pokok di pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, Rohaizal Rahmat, 39, yang juga usahawan restoran makanan laut dari Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, maut akibat terperangkap dalam keretanya yang terbakar.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa sedang memandu kereta Perodua Kenari berseorangan.

KEADAAN kereta yang dinaiki seorang lelaki yang ditemui rentung selepas terbakar dalam kejadian di Jalan Tembaga 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, awal pagi ini. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat

“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Seri Alam menghala ke Kampung Pasir Putih sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang pokok yang berada di tengah pembahagi jalan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta yang dinaikinya terbakar dan mangsa tidak sempat keluar lalu terbakar sama.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pasir Gudang membantu mengeluarkan mayat mangsa dari keretanya yang rentung sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi siasatan lanjut.

“Polis memohon saksi yang melihat kejadian berkenaan supaya tampildi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X