Rabu, 27 November 2019 | 5:22pm
Mohd Isa (kiri) yang juga bekas Pengerusi FELDA, menghadapi kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapinya, lima tahun lalu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tidak tahu wang untuk Mohd Isa - Azizi

KUALA LUMPUR: Saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak tahu wang ditunaikan di Maybank Cawangan Jelapang, Perak, dan diberi kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, adalah untuk kegunaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Azizi Abd Wahab, 53, memaklumkan perkara itu ketika membaca keterangan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes dalam prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Isa, yang juga bekas Pengerusi FELDA, menghadapi kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapinya, lima tahun lalu.

Azizi yang juga Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB), selaku saksi ke-17 pendakwaan , berkata sepanjang masa, beliau hanya berurusan dengan Ikhwan saja.

“Saya tidak pernah berjumpa atau berurusan dengan Mohd Isa, hanya jumpa Pegawai Khas kepada Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip, ketika memperkenalkan Ikhwan kepadanya dan ketika lawatan saya ke Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

“Syarikat JVESB ditubuhkan bersama Mazeed Abd Wahab pada 11 Oktober 2013, selepas menerima surat lantikan sebagai ejen penjualan MPHS daripada Ikhwan melalui syarikat GAPSB,” katanya.

Saksi itu menjelaskan, sepanjang Julai 2014 hingga Disember 2015 terdapat lapan siri pengeluaran dan penyerahan wang antara RM240,000 hingga RM500,000 di Maybank Cawangan Jelapang.

“Ikhwan akan menelefon saya setiap kali memerlukan wang. Sepanjang itu, saya dan Mazeed akan uruskan pengeluaran wang di bank berkenaan sebelum berjumpa dengan Ikhwan bagi menyerahkan wang tunai diperlukannya di beberapa siri lokasi dan masa,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Nithtia, saksi berkata tidak bersetuju apabila dicadangkan penubuhan JVESB dibuat atas arahan Ikhwan.

Nithtia: Pihak pembelaan mencadangkan penubuhan JVESB atas arahan Ikhwan, anda setuju?

Azizi: Tidak. Ikhwan hanya minta majukan syarikat supaya dapat diusulkan kepada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB dan dilantik sebagai ejen hartanah.

Nithtia: Kenapa perlu majukan syarikat ini?

Azizi: Ini berikutan saya dan Mazeed tiada berpengalaman dalam bidang hartanah.

Nithtia: Pihak pembelaan juga mencadangkan anda kecil, adakah anda setuju?

Azizi: Tidak setuju. Tanpa saya, Ikhwan tidak akan mempunyai akses terhadap FELDA dan Muhammad Zahid.

Nithtia: Boleh anda jelaskan mengapa anda tidak menyimpan kesemua lapan rekod catatan berkenaan penyerahan wang tunai kepada Ikhwan?

Azizi: Pada saya, tiada keperluan memandangkan pengeluaran sudah tercatat pada kenyataan bank, malah syarikat itu juga diaudit.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa JVESB sedia melepaskan komisyen RM9 juta hasil penjualan MPHS kepada FELDA, untuk mewujudkan kepercayaan.

Katanya, syarikatnya bersetuju untuk serah balik RM9 juta daripada jumlah komisyen RM10 juta yang diperoleh selepas diminta oleh Ikhwan bagi tujuan ‘dana politik’ di Sarawak.

“Saya dan Mazeed ingin wujudkan kepercayaan Ikhwan kepada kami. Jadi, persetujuan ini (serah balik RM9 juta), adalah ‘pelaburan’ kami supaya diberi peluang bertapak di Sarawak.

“Kepercayaan bermaksud menunaikan permintaan Ikhwan supaya dia percaya pada kami,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding sama, saksi pendakwaan ke-18, Roney Zaidell, 60, memberitahu beliau diarahkan adiknya, Ikhwan, untuk berjumpa Azizi pada 20 Ogos 2015.

Katanya, Azizi menghubunginya dan memberitahu akan serahkan beg hitam mengandungi wang tunai RM300,000.

“Kira-kira jam 4 petang, semasa saya selesai mesyuarat di ibu kota, Ikhwan menghubungi saya dan meminta untuk membawa pulang satu beg hitam mengandungi wang tunai RM300,000 ke Kuching.

“Sejam kemudian, Azizi pula menghubungi saya dan memaklumkan perkara itu dan kami bersetuju untuk berjumpa di sebuah restoran di Setiawangsa pada jam 6 petang.

“Azizi datang bersendirian. Saya tidak tanya tujuan wang itu diberikan dan percaya padanya serta pulang ke Kuching keesokan hari," katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FICSB.

Dia didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X