Rabu, 27 November 2019 | 5:34pm

Polis siasat bagaimana abu Chin Peng 'lolos' ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti laluan dan bila abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya bersama Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan siasatan lanjut bagaimana abu mayat berkenaan boleh lolos ke Malaysia dari Thailand.

“Kita sedang siasat bagaimana cara abu mayat itu dibawa masuk ke sini, termasuk kemungkinan ia dibawa masuk secara rahsia.

“Buat masa ini, kita tidak akan dedahkan hasil siasatan kerana masih terlalu awal, tetapi kita sudah kenal pasti laluan dan bila,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, polis difahamkan perbuatan itu dilakukan oleh satu kumpulan tertentu sebelum abu mayat Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak dan di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Tambah beliau, laporan media dan perbuatan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin PKM itu jelas boleh menggugat ketenteraman awam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Huzir.

Semalam, sebuah portal media tempatan melaporkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Katanya, mereka turut menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat tiba di Ipoh.

Menurut Kan Fook, sebahagian abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989 dan meninggal dunia pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua pada usia 90 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya bersama Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan siasatan lanjut bagaimana abu mayat Chin Peng boleh lolos ke Malaysia dari Thailand. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X