Khamis, 28 November 2019 | 11:49am
Pegawai JAIK memeriksa bilik yang disewa pasangan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Gangsa, Mergong. - Ihsan JAIK

Mengaku nikah di sempadan elak ditangkap khalwat

ALOR SETAR: Tindakan sepasang kekasih mengaku sudah bernikah di Songkhla, Thailand ketika ditangkap berkhalwat tengah malam tadi, tidak menjadi apabila dikesan belum berkahwin.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, pasangan berusia lingkungan 50-an dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Gangsa, Mergong, oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Radzi Abdul Mutalib, berkata awalnya pasangan terbabit memberi alasan sudah berkahwin bagi mengelak ditangkap.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat, mereka akhirnya mengaku tidak berkahwin dan lelaki terbabit sudah beristeri manakala pasangannya berstatus janda.

“Mereka memberi alasan menyewa bilik hotel untuk makan bersama.

“Kita menahan dan membawa mereka ke Pejabat JAIK kerana disyaki berkhalwat sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Berita Harian X