Khamis, 28 November 2019 | 8:33pm

Mahkamah benarkan pembelajaran Jawi di sekolah Cina, Tamil

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini, menolak permohonan GERAKAN yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, yang juga Bahasa Kebangsaan.

Beliau berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, GERAKAN memfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat pada 18 September lalu, bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Menerusi permohonannya, GERAKAN percaya pengajaran tulisan Jawi boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti yang diajar dalam kelas Pengajian Islam.

GERAKAN melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai, menamakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalannya, Teo Nie Ching, dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Sementara itu, Amarjit juga menolak hujah Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali bahawa Dominic Lau tiada locus standi untuk menyaman kerajaan kerana beliau adalah presiden sebuah parti politik.

Amarjit menetapkan kes itu ditolak tanpa sebarang kos, dan GERAKAN diwakili peguam Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong.

Berita Harian X