Khamis, 28 November 2019 | 8:40pm
SAKSI Ketua Bahagian Modal Insan, Bahagian Latihan Sumber Manusia FELDA, Erwan Aman hadir pada Sambung bicara kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. NSTP/Aswadi Alias.
SAKSI Ketua Bahagian Modal Insan, Bahagian Latihan Sumber Manusia FELDA, Erwan Aman hadir pada Sambung bicara kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. NSTP/Aswadi Alias.

FICSB tak kemukakan kertas permohonan beli Merdeka Palace Hotel

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha Lembaga Felda memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tiada permohonan dikemukakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) untuk mendapatkan kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPSH) di Kuching, Sarawak.

Erwan Aman, 44, berkata berdasarkan keputusan Minit Mesyuarat Lembaga FELDA 321, pembentangan Laporan Kemajuan FICSB pada 1 Disember 2014 yang dibuat bukan satu permohonan ALP FICSB bagi mendapatkan kelulusan pelaburan pembelian MPHS daripada Lembaga Felda, sebaliknya hanya laporan kemajuan mengenai pelaburan yang dibuat FICSB.

"Tidak ada sebarang permohonan untuk meratifikasi kelulusan pelaburan yang dibuat oleh ALP FICSB semasa mesyuarat Lembaga Felda berlangsung.

"Sepatutnya FICSB mengemukakan kertas lembaga berasingan untuk memohon ratifikasi kelulusan pelaburan yang dibuat melebihi RM100 juta khususnya berkaitan dengan pembelian MPHS," katanya ketika membaca penyataan saksi.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya S Nithtia pada hari ke-13 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta membabitkan MPHS bernilai RM160 juta yang dihadapi Mohd Isa.

Erwan yang kini Ketua Bahagian Modal Insan, Bahagian Latihan, Jabatan Sumber Manusia, Felda berkata Kertas Laporan Kemajuan FICSB hanya untuk melaporkan dan bukan bertujuan mendapatkan kelulusan pelaburan daripada Lembaga FELDA.

"Ia hanya untuk melaporkan kemajuan aktiviti pelaburan FICSB untuk makluman Lembaga FELDA. Sepatutnya, sebarang pelaburan yang melebihi RM100 juta oleh FICSB hendaklah dibentangkan dengan mengemukakan kertas cadangan permohonan kelulusan pelaburan untuk kelulusan Lembaga FELDA selaras dengan keputusan Lembaga FELDA dalam Minit Mesyuarat Lembaga FELDA 303 pada 25 Jun 2016.

"Sama ada Lembaga FELDA memutuskan untuk melulus atau tidak Kertas Cadangan Permohonan untuk kelulusan pelaburan itu harus dibentangkan kepada Lembaga FELDA. Jika tiada sebarang kelulusan daripada Lembaga FELDA, pembelian MPHS tidak mendapat kelulusan Lembaga FELDA," jelas Erwan.

Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan iaitu Pegawai Tadbir FELDA, Siti Salwani Mohd Salleh; Pemangku Ketua Pegawai Kewangan FICSB, Azlan Mohamed Ismail; bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Zaid Abdul Jalil masing-masing mengesahkan pembelian MPSH tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga FELDA.

Erwan, saksi pendakwaan ke-19, juga berkata kuasa mutlak meluluskan pelaburan bernilai atas RM100 juta adalah kuasa Lembaga FELDA.

"Bidang kuasa FICSB tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh Lembaga FELDA walaupun ALP FICSB dan FELDA adalah orang sama," katanya.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin, adakah cara lain yang digunakan oleh pihak pengurusan FELDA untuk memberitahu FICSB mengenai mandat pelaburan RM100 juta, Erwan menjawab: "Ada, melalui minit diberikan kepada pengurusan FICSB".

"Saya perlu semak dahulu," katanya apabila diminta Salehuddin untuk mengesahkan minit mesyuarat itu.

Saksi juga bersetuju dengan peguam bahawa beliau hanya mengetahui ratifikasi pelaburan RM100 juta hanya di atas kertas sahaja.

Salehuddin: Perkara yang membabitkan ratifikasi pelaburan RM100 juta bukan tugas kamu, ia kelulusan daripada ALP FELDA dan Pengarah Besar FELDA?

Erwan: Betul.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 13, 14 dan 22 Januari 2020.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X