Jumaat, 29 November 2019 | 2:49pm
Gambar fail, ADUN Gadek, G. Saminathan bersama sebahagian daripada 12 suspek kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibawa keluar selepas mendengar pendakwaan terhadap kumpulan pengganas LTTE di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 November lalu. - Foto Aizuddin Saad
Gambar fail, ADUN Gadek, G. Saminathan bersama sebahagian daripada 12 suspek kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibawa keluar selepas mendengar pendakwaan terhadap kumpulan pengganas LTTE di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 November lalu. - Foto Aizuddin Saad

Sokong LTTE, ADUN Gadek dibenar mohon ikat jamin

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan yang didakwa memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), boleh mengemukakan permohonan untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan Seksyen 13 (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menghalang sepenuhnya mahkamah daripada menimbangkan permohonan ikat jamin, adalah tidak berperlembagaan.

Permohonan ikat jamin mengikut peruntukan itu membabitkan individu yang didakwa mengikut kesalahan di bawah Bahagian VIA Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berkaitan keganasan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata kuasa kehakiman termasuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin.

Menurut Mohd Nazlan, kuasa kehakiman dalam menimbangkan permohonan jaminan sehubungan itu tidak boleh dihadkan, apatah lagi dihalang sepenuhnya oleh peruntukan statutori Seksyen 13 SOSMA kerana ia mengambil kuasa mahkamah, sekali gus bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa.

“Pengasingan kuasa antara Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman adalah ciri khas negara demokratik moden.

“Sebarang pengambilan kuasa kehakiman oleh cabang lain dalam kerajaan melanggar kesucian doktrin pengasingan kuasa.

“Sehubungan itu, peruntukan Seksyen 13 SOSMA ultra-vires (bertentangan) Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan kerana ia mengambil kuasa budi bicara daripada mahkamah.

“Keputusan ini tidak bermakna pemohon mesti dibenarkan diikat jamin. Keputusan ini hanya mengesahkan kuasa memberi jaminan tidak boleh dihadkan atau dihalang kerana bertentangan Artikel 121(1) Perlembagaan,” katanya.

Sebaik Mohd Nazlan selesai membacakan keputusan idan prosiding berakhir, Saminathan yang berada di kandang tertuduh berpelukan dengan ahli keluarganya.

Sementara itu, Mohd Nazlan berkata SOSMA ialah undang-undang yang digubal di Parlimen mengikut Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Artikel 149 secara jelas membenarkan pewartaan akta yang digubal bagi menghalang atau mencegah ancaman yang antaranya prejudis kepada ketenteraman awam atau keselamatan Persekutuan atau bahagian lainnya.

Katanya, peruntukan itu secara spesifik menyatakan mana-mana peruntukan undang-undang adalah sah walaupun ia tidak konsisten dengan Perkara 5 (kebebasan individu), Perkara 9 (kebebasan untuk bergerak), Perkara 10 (kebebasan untuk berucap, berkumpul dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.

Saminathan didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights, pada jam 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Perbuatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama, iaitu penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau niat digunakan, jika sabit kesalahan.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit, di pejabat EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Seri Negeri, pada jam 10.25 pagi, pada 10 Oktober lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan mendapatkan arahan lanjut sama ada untuk mengemukakan rayuan.

Berita Harian X