Jumaat, 29 November 2019 | 3:34pm

Nazrin ada peluang selamatkan diri jika sedar - Saksi

SHAH ALAM: Seorang saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, berpendapat mangsa boleh menyelamatkan diri jika kematiannya berpunca daripada kebakaran.

Saksi Pendakwaan ke-13, Pegawai Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Tanhoss Ban Agem, 29, berkata, berdasarkan pandangannya, walaupun Nazrin tidak dapat keluar dari bilik terbabit ketika kebakaran berlaku, mangsa masih boleh menyelamatkan diri dengan dengan cara pergi ke sudut lain di bilik itu.

Katanya, ia berikutan kebakaran bilik berkenaan adalah berskala kecil selain keluasan bilik adalah besar.

“Kalau dia sedar, dia boleh pergi ke mana-mana sudut bilik. Ketika saya sampai, saya lihat asap beracun keluar dari bilik ke arah atas.

“Asap dalam bilik tidak sampai aras pinggang. Dia masih boleh merangkak (menyelamatkan diri) jika sedar,” katanya ketika ketika disoal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Tanhoss, 29, juga menafikan beliau berbohong ketika memberi kenyataan di mahkamah selepas Muhammad Shafee mendakwa saksi sengaja mereka-reka cerita dan dijadikan ‘mangsa’ oleh pasukan bomba.

Ia berikutan kenyataan saksi bahawa beliau melihat seorang tertuduh remaja masuk ke bilik yang terbakar untuk mengambil barang sedangkan keterangan itu tidak pernah dilaporkan kepada pihak penyiasat polis atau bomba, sebelum ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee bertanya sama ada saksi bersetuju beliau berbohong bagi menutup pekung yang dilakukan bomba atau polis kerana pihak pembelaan mendakwa terdapat anggota polis atau bomba yang mencuri barang di bilik yang terbakar, ketika melakukan siasatan.

“Dalam kes ini, pihak bomba serta polis marahkan Samirah (Samirah Muzaffar) kerana dia tidak berdiam diri (terhadap siasatan).

“Dia (Samirah) peguam. Dia terbuka bagi pandangan (terhadap siasatan). Jadi macam-macam perkara ditimbulkan bomba dan pihak polis,” kata Shafee.

Bagaimanapun, Tanhoss berkata beliau tidak mahu memberi sebarang jawapan.

Tanhoss memberi keterangan dalam kes isteri Nazrin, Samirah, 44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 14 dan 17 tahun, yang didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Tanhoss Bah Agem hadir perbicaraan kes Allahyarham Nazrin di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X