Sabtu, 30 November 2019 | 1:58pm
Keadaan lantai anjung chalet milik Tijah yang runtuh selepas dibadai ombak besar di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah. - NSTP/Hassan Omar

Mimpi ngeri pengusaha chalet jadi realiti

ALOR GAJAH: Mimpi ngeri seorang pengusaha chalet di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, dekat sini, sejak awal bulan ini menjadi kenyataan apabila keseluruhan anjung chalet berkenaan runtuh hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, keseluruhan lantai anjung sepanjang enam meter dan selebar 1.52 meter itu runtuh selepas dibadai ombak besar bermula sejak petang semalam.

Kejadian itu menyebabkan Tijah Mydin, 76, semakin bimbang tujuh unit chalet yang diusahakannya sejak enam tahun lalu, akan mengalami kerosakan berikutan hakisan pantai yang bertambah serius sejak dua bulan lalu.

“Saya terkejut apabila diberitahu oleh anak saya, Nor Afandi Abu Bakar, 54, keseluruhan anjung itu sudah runtuh awal pagi ini dan apabila tiba di tempat kejadian, saya dapati tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk menahan anjung itu daripada runtuh.

“Di anjung itu saya sediakan pondok membakar ikan untuk tetamu yang menginap bagi membolehkan mereka beristirahat bersama anggota keluarga dan tangga batu untuk mereka turun ke pantai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dia menjelaskan, hakisan pantai berlaku sejak Ogos lalu dan secara beransur-ansur ia semakin merebak ke tembok chalet sebelum menyebabkan tembok berkenaan runtuh pada Oktober lalu.

Berikutan itu, anjung yang mengalami hakisan selanjutnya semakin tidak stabil dan mula mengalami runtuhan sedikit demi sedikit mulai hujung Oktober lalu sebelum keseluruhannya runtuh pagi ini.

“Ketika tembok itu runtuh, saya mengeluarkan kos kira-kira RM10,000 untuk menjalankan kerja pembaikan tetapi sebaik saja ia siap, sekali lagi ia runtuh akibat hakisan pantai dan ombak kuat,” katanya.

Beliau merayu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera membina tembok penahan ombak yang lebih kukuh berbanding tembok penahan ombak yang dibinanya sendiri yang tidak mampu menahan ribut.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah ketika dihubungi berkata, setakat ini hanya peruntukan untuk membina tembok penahan ombak melalui konsep batu lapis lindung atau ‘rock revetment’ di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara yang mengalami masalah yang sama sudah diluluskan manakala di Pengkalan Balak masih menunggu kelulusan kerajaan negeri.

Berita Harian X