Ahad, 1 Disember 2019 | 6:29pm
KEADAAN kenderaan dua rakan yang maut dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 30 Jalan Klang-Banting-Port Dickson. NSTP/PDRM

Dua rakan maut nahas jalan raya

BANTING: Dua sahabat maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan dipandu remaja yang dipercayai hilang kawalan di Kilometer 30, Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 11 malam itu, kereta Toyota Vios dinaiki Kam Long Chin, 20, dan Yoon Cui Tas, 21, bertembung dengan Toyota Camry dipandu remaja berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata siasatan awal mendapati Toyota Camry dari arah Jenjarom menghala Banting, dipercayai hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung Perodua Myvi dan Toyota Vios yang dinaiki dua sahabat itu.

Akibat daripada pelanggaran itu, Long Chin yang memandu Toyota Vios yang beralamat di Banting, parah dan meninggal dunia di lokasi.

Cui Tas yang juga beralamat di Banting, meninggal dunia di Hospital Banting ketika menerima rawatan.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Banting untuk dibedah siasat.

“Pemandu Toyota Camry masih tidak sedarkan diri manakala pemandu Perodua Myvi, Tay Eng Hui, 32 tahun, yang beralamat di Pandamaran, dilaporkan mengalami sakit di bahagian dada,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X