Isnin, 2 Disember 2019 | 8:49am
Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud bacaan paras air ketika melawat di Balai Polis Kuala Jambu yang berisiko terjejas banjir berhampiran Sungai Golok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Jalan Rantau Panjang Lama di Kampung Pohon Tanjung di tutup kepada semua lalulintas kerana limpahan air dari Sungai Golok berikutan hujan yang turun selama enam hari tanpa henti di Kelantan. - Foto Fathil Asri

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,636 membabitkan 1,621 keluarga, setakat jam 7.00 pagi tadi, berbanding 2,652 mangsa daripada 781 keluarga, malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan di Pasir Mas, seramai 3,231 mangsa daripada 970 keluarga ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS), sementara di Kota Bharu, 739 mangsa (209 keluarga) ditempatkan di tujuh PPS.

Di Pasir Puteh pula, 611 mangsa (165 keluarga) dipindahkan ke tujuh PPS, manakala di Bachok, 256 mangsa (60 keluarga) ditempatkan di dua PPS.

Di Tanah Merah, 371 mangsa (50 keluarga) ditempatkan di lapan PPS; Machang membabitkan 219 mangsa (65 keluarga) di enam PPS; dan Kuala Krai pula 209 mangsa (50 keluarga) di lima PPS.

Dalam pada itu, laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan tiga sungai di Kelantan sudah melepasi paras bahaya.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas, meningkat kepada 10.47 meter (m) melepasi paras bahaya 9m, berbanding 10.37m pada malam tadi.

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah, mencatat bacaan 23.98m melepasi paras bahaya 23.5m dan Sungai Kelantan di Kuala Krai kepada 25.07m (paras bahaya 25m).

Dua sungai pula melepasi paras amaran, iaitu Sungai Lebir di Tualang 33.96m (amaran 31m) dan Sungai Kelantan di Kusial 15.81m (amaran 14m).

Tiga sungai yang melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Galas di Limau Kasturi 56.52m (berjaga-jaga 56m), Sungai Galas di Dabong 34.12m (berjaga-jaga 32m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam 3.18m (berjaga-jaga 3.0m).

Di Kuala Terengganu, keadaan banjir juga semakin buruk dengan peningkatan mendadak kepada 5,807 mangsa (1,719 keluarga), berbanding 2,387 orang (650 keluarga) malam tadi.

Sebanyak 55 PPS baharu terpaksa dibuka di tujuh daerah, awal pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi ketika ini ialah di 121 lokasi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman, berkata Besut iaitu daerah paling teruk terjejas dengan terus merekod peningkatan jumlah mangsa kepada 1,787 orang (484 keluarga) di 45 PPS berbanding 1,312 orang (345 keluarga) di 31 PPS, malam tadi.

“Banjir di Hulu Terengganu juga semakin buruk dengan pembukaan 18 PPS baharu yang menempatkan 1,751 mangsa (553 keluarga) berbanding 296 mangsa (94 keluarga) di 15 PPS, malam tadi. Sebanyak 33 PPS beroperasi di daerah itu, ketika ini.

“Di Setiu pula, jumlah mangsa turut merekod peningkatan ketara kepada 1,691 orang (523 keluarga) di 28 PPS berbanding hanya 296 orang (94 keluarga) di 15 PPS, malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan lima sungai di tiga daerah sudah melepasi paras bahaya setakat jam 7.00 pagi tadi.

Dua sungai di Setiu, iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap merekod bacaan 22.91m melepasi paras bahaya 21m dan Sungai Setiu di Kampung Besut 17.65m (bahaya 17.5m).

Dua sungai di Hulu Terengganu juga melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong 24.56m (bahaya 24.5m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping 21.38m (bahaya 19.7m), selain Sungai Besut di Kampung La 24.13m (bahaya 21.8m).

Di Pahang, keadaan banjir tidak berubah pada pagi ini dengan tiga mangsa masih ditempatkan di PPS di Rompin. – BERNAMA

Berita Harian X