Isnin, 2 Disember 2019 | 9:54am
Seorang maut dalam kemalangan jalanraya yang membabitkan tiga buah kereta di Kampung Sungai Miang, Jalan Pekan-Nenasi, Pekan. - Foto ihsanJBPM

Seorang maut, bapa patah kedua-dua kaki dalam nahas

PEKAN: Seorang wanita maut, manakala bapanya patah kedua-dua kaki dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 23 Jalan Pekan-Rompin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, mangsa yang juga graduan Politeknik Mersing, Nurul Adibah Razali, 21, meninggal dunia di tempat kemalangan selepas Proton Wira dipandu ayahnya, Razali Salim, 61, berlanggar dengan dua kenderaan lain jenis Proton Saga dan Proton Exora.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, berkata siasatan awal pihaknya mendapati kereta dipandu Razali yang juga pesara FELDA dari arah Pekan, dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan dua kenderaan dari arah bertentangan.

Seorang maut dalam kemalangan jalanraya yang membabitkan tiga buah kereta di Kampung Sungai Miang, Jalan Pekan-Nenasi, Pekan. - Foto ihsanJBPM

“Ketika kejadian, keadaan jalan licin dan hujan renyai. Akibat kemalangan itu, anak Razali yang juga penumpang belakang meninggal dunia, manakala isterinya Saniah Haron, 65, dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Turut cedera ialah pemandu Proton Saga, Mohd Yati Salleh, 26,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Razli berkata, keterangan mangsa yang selamat sudah diambil bagi membantu melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seorang maut dalam kemalangan jalanraya yang membabitkan tiga buah kereta di Kampung Sungai Miang, Jalan Pekan-Nenasi, Pekan. - Foto ihsanJBPM

Berita Harian X