Isnin, 2 Disember 2019 | 10:25am

5,802 mangsa ditempatkan di 117 PPS

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 5,802 membabitkan 1,730 keluarga setakat jam 10 pagi berbanding 2,725 mangsa daripada 764 keluarga pada malam tadi.

Berdasar aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu, Besut dan Setiu merekodkan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) paling tinggi melebihi 1,500 orang.

Keseluruhan sebanyak 117 PPS kini diaktifkan di negeri ini.

Di Hulu Terengganu seramai 1,713 mangsa membabitkan 564 keluarga ditempatkan di 28 PPS manakala di Setiu pula merekodkan 1,691 mangsa (532 keluarga) dipindahkan ke 28 PPS dan di Besut pula, 1,818 mangsa (491 keluarga) kini berada di 46 PPS.

Sementara itu, di Dungun turut menyaksikan peningkatan jumlah mangsa dipindahkan iaitu 343 orang (98 keluarga) di lapan PPS.

KEADAAN banjir di Kampung Matang menyebabkan jalan yang menghubungkan Kampung Kepah terputus selepas hujan lebat sejak dua hari lalu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Kemaman, Marang dan Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan melanda negeri ini sejak malam tadi menyaksikan 150 orang (44 keluarga) kini ditempatkan di tiga PPS di Kemaman.

Marang pula merekodkan 71 mangsa (16 keluarga) kini ditempatkan di dua PPS dan Kuala Nerus pula 16 mangsa (tiga keluarga) di dua PPS.

Sementara itu, sembilan stesen sungai di Terengganu menunjukkan bacaan melepas paras bahaya iaitu Jambatan Keruak dan Kampung La di Sungai Besut; Kampung Besut dan Jambatan Permaisuri di Sungai Setiu serta Jambatan Chalok di Sungai Chalok.

Stesen Kampung Langkap dan Kampung Bukit di Sungai Nerus turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya selain Kuala Ping di Sungai Telemong dan stesen Jambatan Jerangau di Sungai Dungun.

KEADAAN banjir di Kampung Matang menyebabkan jalan yang menghubungkan Kampung Kepah terputus selepas hujan lebat sejak dua hari lalu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
MESKIPUN dilihat keadaan banjir di beberapa kawasan masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan namun orang ramai dinasihatkan tidak mengabaikan aspek keselamatan. - Foto BERNAMA
PENAUNG Kelab Budiman Sejahtera Terengganu (KBST) Datuk Dr Mohammad Johari Mohammad (dua, kanan) menyerahkan pek makanan kepada Muhammad Asrul Nasrullah Sudin, 17, (kiri) diperhatikan ibunya Hawa Mat Amin, 53, (dua, kiri) di Kampung Raja. - Foto BERNAMA
Berita Harian X