Isnin, 2 Disember 2019 | 12:45pm

Banjir di Kelantan semakin buruk

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan 7,342 mangsa daripada 2,324 keluarga dipindahkan, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di 74 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah, iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Jeli dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jeli muncul daerah terbaru dilanda banjir dengan 217 mangsa daripada 87 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Pasir Mas pula masih mencatatkan bilangan mangsa paling ramai, iaitu 3,763 orang daripada 1,347 keluarga di 22 PPS, diikuti Kuala Krai yang meningkat kepada 971 mangsa (231 keluarga) di 17 PPS.


Mohd Azwan Asmadi, 9, mendukung rakannya Mohd Rayyan Haziq Juswadi, 8, untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kedai Tanjung, Rantau Panjang. - Foto Fathil Asri

Ketua Balai Bomba Pengkalan Kubor, Penolong Pengusaha Bomba Raja Arisan Raja Ismail menasihati sekumpulan kanak-kanak di Kampung Kubang Sawa, Tumpat yang bermain air banjir. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Di Kota Bharu, 821 mangsa (229 keluarga) ditempatkan di enam PPS, sementara di Pasir Puteh, 659 mangsa (177 keluarga) berada di tujuh PPS.

Tanah Merah pula membabitkan 426 mangsa (125 keluarga) di sembilan PPS; Machang 225 mangsa (67 keluarga) di enam PPS; dan Bachok 260 mangsa (61 keluarga) di dua PPS.

Sementara itu, berdasarkan infobanjir.water.gov.my, empat sungai mencatatkan bacaan pada paras bahaya, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.45 meter (m); Sungai Golok di Jenob 24.37m; Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah 16.12m; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.23m.

Sungai Lebih di Tualang pula berada di paras amaran 33.74m.


Mangsa banjir mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kedai Tanjung, Rantau Panjang. - Foto Fathil Asri
Pemandangan dari udara menunjukkan Jalan Rantau Panjang Lama di Kampung Pohon Tanjung di tutup kepada semua lalulintas kerana limpahan air dari Sungai Golok berikutan hujan yang turun selama enam hari tanpa henti di Kelantan. - Foto Fathil Asri
Pemandangan dari udara menunjukkan Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang di Lubok Jong air sungai sudah melimpahi jalan utama kerana limpahan air dari Sungai Golok berikutan hujan yang turun selama enam hari tanpa henti di Kelantan. - Foto Fathil Asri
Berita Harian X