Isnin, 2 Disember 2019 | 4:38pm
Lokasi kejadian dimana seorang bayi perempuan berusia 19 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Bundusan. - NSTP/Ihsan PDRM

Kanak-kanak setahun jatuh dari tingkat lima

PENAMPANG: Seorang bayi perempuan berusia 19 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Bundusan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, mangsa yang dibawa ke wad kecemasan Jesselton Medical Centre (JMC) oleh ahli keluarganya bagaimanapun, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa dibawa oleh ahli keluarga untuk makan di sebuah restoran di tingkat lima bangunan berkenaan.

Katanya, mangsa dikatakan bermain bersama abangnya di lorong jejantas yang masih dalam pembinaan menghubungkan bangunan bersebelahan.

“Ketika bermain dengan abangnya, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima bangunan berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke JMC untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas di JMC.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X