Isnin, 2 Disember 2019 | 5:47pm
Bibi Naziraini Mat Ghani bersama anaknya, Siti Nurul Batrisya Mat Imi yang menghidap penyakit jantung berlubang diterbangkan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut. - STR/Nurul Fatihah Sulaini

Pesakit jantung berlubang diterbangkan TUDM

JERTIH: Seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung berlubang, diterbangkan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

Siti Nurul Batrisya Mat Imi, 6, tiada selera makan sejak beberapa hari lalu dan keadaannya itu boleh menyebabkan tubuhnya mengalami penyahhidratan sekiranya dibiarkan berlarutan.

Pegawai Perubatan Pangkalan Udara Gong Kedak, Mejar Dr Muhammad Fitri Daud, berkata penerbangan ihsan bermula pada jam 12.15 tengah hari dan mengambil masa 30 minit untuk tiba di Kampung La di Hulu Besut.

“Satu-satunya cara untuk menyelamatkan pesakit ini adalah dengan pengangkutan udara (helikopter) kerana laluan masuk dan keluar ke kampung itu terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan disebabkan banjir.

“Keadaan kanak-kanak itu stabil dan akan menerima rawatan kesihatan di Hospital Besut,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Udara Gong Kedak, hari ini.

Ibu kanak-kanak itu, Bibi Naziraini Mat Ghani turut mengiringinya sepanjang penerbangan.

Penerbangan ihsan itu dikendalikan oleh Mejar Zool Amali Shodali dan Kapten Wan Muhammad Haqimi Wan Zin, manakala operasi menyelamat diketuai Komander Kolonel Shaiful Azuar Ariffin bersama empat pegawai dan lima anggota TUDM menggunakan Eurocopter EC725 TUDM.

Sabtu lalu, TUDM turut melakukan penerbangan ihsan membawa dua ibu mengandung dan seorang warga emas lelaki berusia 80 tahun yang mengalami masalah kesihatan dan mendarat di Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih.

Selain operasi penerbangan ihsan, TUDM turut menjalankan penghantaran bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seberat 250 kilogram kepada penduduk terjejas banjir di dua kampung iaitu Kampung La dan Kampung Keruak.

Ketika ini seramai 182 mangsa banjir daripada 43 keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Kampung La.

Berita Harian X