Isnin, 2 Disember 2019 | 10:50pm

Perompak larikan lima dulang emas

ALOR SETAR: Selepas melakukan rompakan di Perlis, kumpulan sama dipercayai melakukan jenayah sama dengan melarikan lima dulang emas di sebuah kedai emas di Alor Mengkudu di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, seorang lelaki bersenjatakan senapang menyerbu masuk ke premis itu sebelum memecahkan cermin rak pameran.

Dipercayai, suspek adalah lelaki sama melakukan rompakan sebuah kedai emas di Kompleks Perniagaan Chin Hin, Arau, pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Menurut sumber, suspek yang memakai baju-T putih dan bertopi keledar menyembunyikan senapang patahnya di dalam beg badminton ketika berjalan masuk ke dalam premis berkenaan.

“Difahamkan, salah seorang pekerja kedai emas sempat menekan penggera sebelum suspek bertindak memecahkan rak pameran menggunakan kapak.

“Dia kemudian melarikan lima dulang barang kemas sebelum melarikan diri,” katanya di sini, malam ini.

Bagaimanapun, suspek hanya mengancam pemilik kedai emas berusia 57 tahun dan pekerja berusia 26 tahun tanpa mencederakan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Turut kelihatan di lokasi kejadian adalah pegawai Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang melakukan pemeriksaan.

SEBUAH kedai barangan kemas di Arau dirompak seorang lelaki bertopi keledar dalam satu kejadian rompakan bersenjata. NSTP/Ihsan Pembaca
Berita Harian X