Selasa, 3 Disember 2019 | 12:02am
PENGARAH Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara , (NADMA) Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Jerteh. - Foto BERNAMA

NADMA tambah 2000 khemah mangsa banjir

JERTIH: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menambah 2,000 unit khemah untuk menampung keperluan mangsa banjir yang semakin meningkat berikutan cuaca tidak menentu.

Pengarah Operasinya, Datuk Hussein Omar Khan, berkata 10,000 unit khemah sudah diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ke seluruh negara lebih awal secara berperingkat.

Katanya, bekalan khemah di PPS di negeri pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang masih mencukupi setakat ini.

“Tidak timbul isu bekalan khemah untuk mangsa banjir tidak cukup tetapi kita melihat keperluan di PPS itu sendiri.Jika kawasan PPS bersaiz kecil khemah tidak akan dibuka bagi menempatkan lebih ramai bilangan mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa pesakit dari kawasan banjir di Pangkalan Udara Gong Kedak, hari ini.

Hussein berkata, bantuan bekalan makanan yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga berjalan lancar dengan bantuan pengangkutan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari tempat simpanan ke PPS.

“Tambahan anggota keselamatan dan bantuan logistik akan dilakukan sekiranya perlu bagi melancarkan proses bantuan ke PPS.

“Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bantuan keperluan mangsa banjir sudah ditempatkan di pos kawalan hadapan PPS dan boleh sampai kepada mangsa banjir antara tempoh satu hingga dua jam sahaja,” katanya.

Katanya, hasil tinjauannya di beberapa PPS di daerah Besut dan Hulu Terengganu, pengurusan mangsa banjir dilihat teratur dengan mangsa dipindahkan ke PPS, pendaftaran dilakukan dan agihan bantuan makanan, barangan sokongan seperti tikar, toto dan selimut berjalan lancar.

“Kita turut mendapat kerjasama Pangkalan Udara Gong Kedak yang mengaktifkan satu unit khas melakukan penerbangan ihsan membantu mangsa bencana dan membawa bantuan keperluan makanan di kawasan terputus hubungan laluan darat,” katanya.

Berita Harian X