Selasa, 3 Disember 2019 | 8:18am
Kenderaan terpaksa mengharungi air banjir untuk ke Rantau Panjang berikutan limpahan air Sungai Golok. - Foto BERNAMA

Seramai 10,281 mangsa dipindahkan sehingga 8 pagi ini

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 10,281 orang membabitkan 3,520 keluarga sehingga jam 8 pagi ini.

Kesemua mereka ditempatkan di 83 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Jeli dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas terus meningkat kepada 5,852 orang daripada 2,291 keluarga di 28 PPS.

Mangsa banjir di Kuala Krai pula seramai 1,075 orang daripada 265 keluarga di 16 PPS.

Sementara itu, di Kota Bharu mencatatkan 733 mangsa daripada 209 keluarga di lima PPS dan Pasir Puteh seramai 826 mangsa daripada 219 keluarga di lapan PPS.

Tanah Merah membabitkan 642 mangsa daripada 179 keluarga di 13 PPS, Machang 203 mangsa daripada 61 keluarga di enam PPS dan Bachok mencatatkan 179 mangsa daripada 44 keluarga di dua PPS.

Manakala, di Jeli pula 131 mangsa daripada 32 keluarga di dua PPS. Jumlah mangsa di Tumpat seramai 619 orang daripada 190 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Berita Harian X