Selasa, 3 Disember 2019 | 10:10am
Fatimah Yasim, 57, mengalihkan peralatan selepas kedainya dinaiki air di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Mangsa banjir Terengganu menurun

KUALA TERENGGANU: Cuaca baik dan banjir yang mulai surut menyaksikan jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun sedikit kepada 4,912 orang daripada 119 keluarga di 119 pusat pemindahan sementara.

Bagaimanapun, satu lagi daerah iaitu Kuala Terengganu mula dilanda banjir sejak malam tadi dengan jumlah mangsa seramai 22 orang dari empat keluarga di satu PPS, menjadikan semua lapan daerah di negeri ini terjejas banjir.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata daerah Besut masih menempatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,889 orang daripada 507 mangsa di 51 PPS setakat jam 9 pagi ini.

Setiu pula merekodkan seramai 1,406 mangsa daripada 398 keluarga yang dipindahkan ke 26 PPS di daerah itu.

Seramai 876 mangsa daripada 324 keluarga pula masih berada di 15 PPS di Hulu Terengganu, manakala di Dungun 410 mangsa daripada 106 keluarga terjejas berada di 15 PPS.

Keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara PPS di Balai Raya Kampung Syukur, Dugun yang tidak mahu pulang biarpun keadaan banjir dilaporkan surut di Kampung mereka. - Foto Rosli Ilham

Seramai 160 mangsa daripada 46 keluarga pula dipindahkan ke empat PPS di Kuala Nerus, manakala Marang menyaksikan 129 mangsa daripada 79 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam negeri, berkata dengan keadaan cuaca yang semakin baik, pihaknya menjangkakan jumlah mangsa akan terus menurun dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah secara beransur.

Sementara itu, laporan laman web publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan enam stesen mencatatkan bacaan paras sungai melepasi tahap bahaya, manakala enam lagi melepasi paras amaran.

Sungai yang melepasi tahap bahaya ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Telemong di Kuala Ping dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Sungai Dungun di Kuala Jengai, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan; Sungai Besut di Kampung La dan Jambatan Jertih; Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok direkodkan pada paras melepasi tahap amaran.

Muhammad Asrul Nasrullah Sudin, 17, (kanan) bersama ibunya Hawa Mat Amin, 53, membersih rumah selepas dilanda banjir ekoran hujan lebat di Kampung Raja, Besut. - Foto BERNAMA

Berita Harian X