Selasa, 3 Disember 2019 | 4:15pm
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ahmad Zahid, isteri miliki 20 kenderaan peribadi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu terdapat 19 kenderaan, antaranya jenama mewah Mercedes Benz, BMW dan Audi serta motosikal berkuasa tinggi didaftarkan di bawah nama Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zaharudin Zainuddin, 48, turut memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid membayar insurans kenderaan dan cukai jalan berjumlah RM35,726.80 setiap tahun bagi kesemua kenderaan dimilikinya.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksi pada hari keenam perbicaraan kes Ahmad Zahid membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap semua pertuduhan terbabit.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Saksi ke-12 pendakwaan itu berkata rekod kenderaan dan insurans turut mengesahkan Ahmad Zahid memiliki 11 kereta, lapan motosikal berkuasa tinggi dan satu motosikal klasik.

“Antara kenderaan yang didaftarkan bawah nama Ahmad Zahid adalah tiga kereta serba guna jenama Toyota Vellfire, Lexus 460, Mercedes Benz, Audi, Honda Odessey, Toyota Land Cruiser dan Chrysler Jeep Wrangler.

“Saya turut mengesahkan maklumat terperinci kenderaan dan insurans bagi dua motosikal Harley Davidson, BMW C 600, Ducati, Kawasaki dan lain-lain.

Bagaimanapun, Zaharudin, semasa membacakan penyataan saksi dalam prosiding itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, berkata empat daripada kenderaan itu di bawah nama isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis.

“Ahmad Zahid membayar insurans kenderaan dan cukai jalan berjumlah RM2 hingga RM5,900.80.

“Saya merujuk kepada dokumen maklumat kenderaan pacuan empat roda dan mengesahkan nilai cukai jalan dikenakan adalah RM 5,900.80,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt, saksi itu turut memberitahu kesemua kenderaan itu milik persendirian.

Keng Fatt: Bagi kenderan yang dirujuk tadi, ia milik persendirian?

Zaharudin: Ya

Keng Fatt: Bagi dokuman maklumat terperinci kenderaan dan insurans yang anda rujuk tadi, adakah ia maklumat sudah dikemaskini sehingga hari siasatan?

Zaharudin: Ya

Keng Fatt: Anda tahu berapakah nilai cukai kenderaan berkapasiti enjn petrol 1598cc?

Zaharudin: Ya, RM180

Keng Fatt: Adakah anda tahu berapa nilai cukai jalan cukai kenderaan berkapasitii enjin petrol 2979cc?

Zaharudin: RM1606.40. Hampir semua kenderaan dimiliki Ahmad Zahid didaftarkan dengan nombor 38.

Sementara itu, dalam prosiding sama, kerani bank di Affin Bank, Royasmin Mohd Roddy, 42, memberitahu beliau diarahkan pegawainya, Narimah Miswadi, untuk menyediakan Borang Permohonan Kiriman Wang berdasarkan satu surat Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-11 pendakwaan itu berkata, pada 23 Jun 2016, Narimah yang juga pegawai saya, mengarahkan saya menyediakan borang itu.

“Saya merujuk kepada surat dari Yayasan Akalbudi bertajuk Memohon Pengeluaran Time Deposit (I) dan mengesahkan bahawa ini adalah surat daripada Yayasan Akalbudi yang saya terima daripada Narimah.

“Saya menyediakan Borang Permohonan Kiriman Wang berdasarkan arahan seperti di dalam surat itu,” katanya.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X