Selasa, 3 Disember 2019 | 4:31pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2019 di Glenmarie. - Foto Norzamira Che Noh

Perhimpunan bekas anggota PKM: Polis Selangor terima 8 laporan

SHAH ALAM: Polis Selangor sudah menerima lapan laporan, setakat semalam, terhadap perhimpunan dipercayai dihadiri bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang pada Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata laporan terbabit juga sudah diserahkan kepada Bukit Aman.

“Kita sudah panjangkan laporan itu ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan dan pihak Bukit Aman akan memanggil individu terbabit, sama ada penganjur ataupun orang yang menghadiri perhimpunan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2019 di Glenmarie, di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, Bukit Aman akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, tindakan diambil Bukit Aman berikutan laporan membabitkan perhimpunan itu turut diterima Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di negeri lain.

Ahad lalu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 individu dipercayai bekas anggota PKM menghadiri satu perhimpunan di Kajang.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata polis diarah menyegerakan laporan penuh berhubung perhimpunan itu.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan isu komunis, kebelakangan ini, sekali gus menegaskan bahawa perkara itu tidak boleh dibiar berlarutan kerana ia menggusarkan rakyat.

Berita Harian X