Selasa, 3 Disember 2019 | 10:14pm
Kehilangan Nur Iman disedari pihak pengurusan petang semalam.

Keluarga risaukan keselamatan Nur Iman yang hilang

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadika dilaporkan hilang ketika menyertai kursus pendidikan kanak-kanak di sebuah organisasi kebajikan di Bandar Baru Sentul di sini, semalam.

Kehilangan Nur Iman Nadhira Yusri, 24, disedari pihak pengurusan organisasi terbabit petang semalam apabila dia tiada dalam bilik penginapan sebelum memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.

Bapa Nur Iman, Yusri Kamarudin, 51, berkata kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu diketahui melalui satu panggilan telefon, kira-kira jam 5.40 petang, semalam.

Beliau berkata, anaknya menyertai kursus pendidikan kanak-kanak anjuran organisasi kebajikan terbabit sejak September lalu dengan jangka masa kursus selama seminggu setiap bulan dan menginap di situ.

“Saya menghantar Nur Iman ke tempat penginapan pada 6.20 petang kelmarin dan dia sepatutnya menjalani latihan amali bersama rakannya di sebuah TASKA di Batu Caves, semalam.

“Bagaimanapun rakannya memberitahu tidak melihat kelibat Nur Iman ketika mahu bertolak ke Batu Caves namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka Nur Iman pergi bersendirian,” katanya.

Katanya, kehilangan Nur Iman disedari pihak pengurusan sebaik selesai latihan amali dan mendapati dia tiada bersama rakan-rakannya sebelum memeriksa bilik penginapannya.

“Beg pakaian, baju, dompet dan telefon bimbit milik Nur Iman tiada di dalam bilik berkenaan sebelum mereka memaklumkan perkara itu kepada saya.

“Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal kerana ia dimatikan. Kami amat risaukan keselamatannya di luar sana dan berharap dia segera pulang,” katanya.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, satu laporan polis berhubung kehilangan Nur Iman sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, berita kehilangan Nur Iman ditularkan di media sosial dan meminta bantuan sekiranya sesiapa yang mempunyai maklumat untuk berhubung dengan bapanya di talian 018 6687192 atau ibunya, Halyani Hassan di talian 012 5247724.

Berita Harian X