Rabu, 4 Disember 2019 | 10:23am
MOHD Yasin Salleh, 59 (kanan) dan adiknya Mohd Salleh, 55 membantu membetulkan struktur dinding rumah kakaknya, Mek Mas, 63, yang rosak teruk selepas dilanda banjir di Kampung La. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Mangsa banjir di Terengganu menurun

KUALA TERENGGANU: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Terengganu hari ini semakin menurun kepada 1,856 mangsa daripada 498 keluarga yang masih berada di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Situasi di Besut, Setiu dan Hulu Terengganu yang sebelum ini paling teruk dilanda banjir, selain Marang dan Dungun, semakin pulih, bagaimanapun daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menunjukkan peningkatan jumlah mangsa.

Laporan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah keseluruhan mangsa banjir semakin berkurangan berbanding 2,306 orang daripada 614 keluarga di 45 PPS, malam tadi.

Sehingga jam 9 pagi ini, Besut yang sebelum ini merekodkan jumlah mangsa teramai turun mendadak kepada 289 mangsa daripada 77 keluarga di lapan PPS berikutan cuaca baik, berbanding 867 orang daripada 218 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS malam tadi.

Di Setiu, jumlah mangsa menurun kepada 324 orang (91 keluarga, 10 PPS); Hulu Terengganu 137 mangsa (35 keluarga, empat PPS), manakala Dungun dengan 207 mangsa (50 keluarga, empat PPS) dan 34 mangsa (tujuh keluarga, satu PPS) di Marang.

Jumlah mangsa di Kuala Nerus pula meningkat kepada 494 orang (144 keluarga, enam PPS), sementara 371 mangsa (94 keluarga, satu PPS) di Kuala Terengganu.

Ia meningkat sedikit berbanding 175 mangsa (44 keluarga, satu PPS) di Kuala Terengganu, serta Kuala Nerus (423 mangsa, 127 keluarga, enam PPS), malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman, ketika dihubungi berkata, peningkatan jumlah mangsa di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu adalah berikutan air yang turun dari hulu ke kawasan hilir.

“Air dari lembangan Sungai Terengganu, Sungai Nerus dan Sungai Setiu bertembung dan turun ke kawasan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, sekaligus menyebabkan kawasan penempatan berhampiran sungai seperti FELDA Belara, Tepoh dan Banggol Peradong dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, laporan di laman web publicinfobanjir.water.gov.my dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan hanya dua stesen merekodkan bacaan pada paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Sungai Nerus di Kampung Bukit pula melepasi paras amaran, manakala sungai lain berada pada paras normal.

Berita Harian X