Rabu, 4 Disember 2019 | 12:52pm
ZAWARY Mahadi meninggal dunia di bilik hotel di Istanbul, Turkey. - Foto ihsan polis

Ketua JSJ Shah Alam meninggal dunia di Turki

SHAH ALAM: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Zawary Mahadi, meninggal dunia ketika bercuti di Istanbul, Turki, semalam.

Beliau yang berusia 53 tahun meninggal dunia di bilik hotel pada jam 11 malam waktu Malaysia ketika bercuti bersama isteri, tiga anak dan seorang cucu di negara itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian pegawai kanannya itu.

“Kami menerima berita ini dari isteri arwah kira-kira jam 11.40 malam.

“Polis kini sedang berurusan dengan pihak polis di sana serta Wisma Putra bagi urusan bawa pulang jenazah ke tanah air,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Baharudin berkata, arwah sedang bercuti bersama bersama keluarga dengan mengikut pakej Trip Balken (lapan negara), bermula dari 23 November lalu hingga 5 Disember ini.

“Difahamkan pada 3 Disember (semalam) beliau tidak sihat dan tidak mengikuti rombongan untuk melawat bandar Istanbul, sebaliknya berehat di bilik hotel, apabila keluarga sampai di bilik hotel dapati arwah sudah meninggal dunia.

“Pihak keluarga sedang menunggu pengesahan punca kematian daripada pihak hospital,” katanya.

Berita Harian X