Rabu, 4 Disember 2019 | 3:50pm

Kebakaran babit CEO Cradel Fund disengajakan - Saksi

SHAH ALAM: Keadaan fizikal tilam yang tidak terbakar sepenuhnya dalam insiden membabitkan kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, 14 Jun 2018, memberi petunjuk kebakaran itu disengajakan.

Saksi Pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli, berkata kebakaran itu yang hanya bertumpu kepada bahagian tertentu sahaja.

“Jika satu-satu kebakaran dilakukan dengan sengaja, ia hanya terbakar di tempat yang dirancang,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ri Kamaruzzaman di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, hari ini.

Abdul Halim yang memberi keterangan hari ketiga hari ini, memberitahu mahkamah, dalam kebakaran yang disengajakan, kebiasaannya terdapat ejen atau alat mudah terbakar seperti petrol atau diesel digunakan untuk membakar.

“Dalam kes ini, selepas ambil sampel kawasan terbakar dan hantar kepada Pegawai Sains, keputusan pada sampel itu adalah positif petrol,” katanya.

Saksi sama turut memberitahu mahkamah, pada hari kejadian, beliau ternampak serpihan bunga api di dalam mangkuk tandas bilik terbabit ketika melakukan siasatan.

Bagaimanapun, gambar serta serpihan bunga api itu tidak diambil berikutan ketika siasatan dia menerima panggilan telefon.

“Selepas itu, saya terlupa. Saya datang semula pada hari lain, mahu ambil gambar serpihan bunga api itu tetapi ia sudah tidak ada,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut mendapatkan kepastian dari saksi berhubung beberapa bahan mudah terbakar seperti surat khabar, kertas, dan susun suai gambar yang tidak terbakar walaupun berada sekitar mayat Nazrin.

Saksi memberitahu mahkamah, jika kebakaran berkenaan berterusan, ia akan merebak ke tempat lain dan membakar semua bahan terbabit.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, beberapa gambar membabitkan mayat mangsa ketika kejadian kebakaran itu, ditayangkan di mahkamah.

Abdul Halim, 33, memberi keterangan terhadap isteri Nazrin, Samirah Muzaffar ,44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Saksi Pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli. - NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X