Rabu, 4 Disember 2019 | 5:56pm
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong (kiri) dan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin. - Foto NSTP

Wakil Timbalan Menteri buat laporan polis terhadap Raja Petra

KUALA LUMPUR: Wakil Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin berhubung dakwaannya yang Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong terbabit dalam membawa masuk abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng baru-baru ini.

Pegawai Media kepada Chin Tong, Izmil Amri Ismail berkata, fitnah itu dibuat menerusi penulisan bertajuk ‘The Fake Ashes Of Chin Peng’ menerusi portal berita Malaysia Today, semalam.

Raja Petra dalam penulisannya mendakwa Chin Tong adalah individu di sebalik perancangan menyeludup masuk abu Chin Peng sebulan sebelum pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai diadakan.

Laporan polis berkenaan dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 10.30 pagi ini.

“Laporan polis dibuat terhadapnya dan Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan berkemungkinan mempertimbangkan bagi mengemukakan tindakan saman sivil selepas perbincangan bersama peguam,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi di sini, hari ini.

Izmil berkata, fitnah yang dilakukan Raja Petra bertujuan mengalihkan tumpuan umum daripada isu utama minggu ini termasuk pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP). - BERNAMA

Berita Harian X