Rabu, 4 Disember 2019 | 9:46pm
Gambar tujuh individu berpakaian ala komunis yang tersebar melalui media sosial.

Gambar 7 individu berpakaian ala komunis diambil di Hatyai

KUALA LUMPUR: Gambar tujuh individu berpakaian ala komunis yang tersebar melalui media sosial dan dikaitkan dengan perhimpunan dipercayai dihadiri bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, Ahad lalu, bukan berlaku di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata hasil siasatan polis mendapati gambar berlatarbelakangkan kain rentang ‘Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai’ itu diambil ketika majlis terbabit berlangsung di sebuah hotel di Hatyai, Thailand, kelmarin.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan berhubung penganjuran Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai anjuran Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 yang diadakan di Kajang, Ahad lalu.

“Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sudah menerima 53 laporan polis di seluruh negara, setakat ini, berhubung penganjuran majlis berkenaan.

“Selain siasatan mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kita juga tidak menolak kemungkinan wujud kesalahan mengikut undang-undang lain seperti Akta Pertubuhan 1966 dan sebagainya.

“Kes masih disiasat dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas hasil siasatan diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan telus dan adil akan dijalankan sebagaimana termaktub bawah undang-undang.

“Ini selaras kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa PDRM sudah diarah menjalankan siasatan berhubung majlis itu yang dipercayai turut dihadiri bekas anggota PKM.

“Justeru, kita meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi dengan memuat naik atau berkongsi kenyataan mahupun artikel berhubung majlis itu dalam media sosial, kerana dikhuatiri akan menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan suasana tidak harmoni di negara ini,” katanya.

Beliau menegaskan, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkaitan PKM.

“Orang ramai diharapkan terus bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada PDRM yang mengendalikan siasatan berhubung isu itu,” katanya.

Ahad lalu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 individu dipercayai bekas anggota PKM menghadiri satu perhimpunan di Kajang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata polis diarah menyegerakan laporan penuh berhubung perhimpunan itu.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan isu komunis, kebelakangan ini, sekali gus menegaskan bahawa perkara itu tidak boleh dibiar berlarutan kerana ia menggusarkan rakyat.

Berita Harian X