Khamis, 5 Disember 2019 | 2:42pm

Keputusan kes saman Synergy Promenade terhadap FELDA 14 Februari ini

KUALA LUMPUR: Keputusan penghakiman terus kes saman Synergy Promenade Sdn Bhd (Synergy Promenade) terhadap FELDA dan cabang pelaburannya, Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) ditetapkan pada 14 Februari ini.

Penghakiman terus tanpa perbicaraan terhadap kes saman itu diputuskan Hakim Datuk Azimah Omar, selepas selesai mendengar hujahan peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram dan R K Sharma yang mewakili Synergy Promenade manakala FELDA diwakili K Kumar pada prosiding dalam kamar di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Sharma ketika ditemui di luar mahkamah, berkata Synergy Promenade selaku plaintif memfailkan saman terhadap FELDA dan FIC, di mana syarikat itu menandatangani perjanjian dengan FIC pada 2 Jun 2014.

Beliau berkata, mengikut perjanjian, syarikat itu dilantik sebagai pemaju induk pembangunan bercampur di 24 bidang tanah berukuran 20.66 ekar (8.2 hektar) secara keseluruhan dimiliki oleh FELDA yang terletak di Jalan Semarak.

Menerusi kenyataan tuntutan yang difailkan Julai lalu, menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, FIC bertanggungjawab mendapatkan FELDA untuk menyediakan tanah projek dan melantik syarikat itu sebagai pemaju tunggal dengan hak tunggal dan eksklusif untuk menjalankan projek berkenaan.

Pembangunan tanah dalam pelbagai fasa mengambil tempoh 10 tahun dari tarikh perintah pembangunan pertama dan penukaran tanah kepada kategori komersial.

Synergy Promenade berkata, FIC dikehendaki menyerahkan tanah kosong dalam tempoh 30 hari selepas menandatangani perjanjian itu dan juga memastikan bahawa pemilikan itu tidak dibatalkan oleh FELDA sebelum projek selesai.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa bahawa pada atau sekitar Januari 2016, FELDA dan FIC hanya menyerahkan satu bidang tanah kepada syarikat itu.

“Syarikat sedang mencari dekri tentang prestasi spesifik terhadap pihak defendan yang mengharuskan mereka untuk mematuhi perjanjian itu, dan juga perintah berbangkit yang mengarahkan pihak defendan untuk segera menyerahkan tanah kosong itu kepada syarikat," katanya.

Berita Harian X