Jumaat, 6 Disember 2019 | 2:34pm

Lokman fail permohonan ketepi kebenaran mulakan prosiding komital

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan mengetepikan kebenaran memulakan prosiding komital diperoleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, pada 9 Januari depan.

Permohonan itu dikemukakan Lokman untuk mengetepikan kebenaran diberikan mahkamah kepada Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam, mewakili Peguam Negara, memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan baru menerima afidavit daripada pasukan pembelaan berkenaan permohonan itu, hari ini.

Selain itu, Collin turut memutuskan notis usul dikemukakan pihak pendakwaan berkenaan prosiding komital berkenaan akan ditetapkan selepas pendengaran permohonan mengetepikan kebenaran itu selesai.

Terdahulu, Mohamad Mustafa memaklumkan pada mahkamah pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti afidavit itu dan perlu membalasnya dalam tempoh dua minggu.

Lokman diwakili peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Pada 22 Oktober lalu, Collin memberi kebenaran kepada Peguam Negara memulakan prosiding komital terhadap Lokman.

Pada 10 Oktober lalu, Peguam Negara selaku pemohon, memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana perbuatannya yang menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Tommy berkata, pada 25 September lalu, responden dalam temu bual video mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi yang juga bekas Pegawai Khas Najib; Datuk Amhari Efendi, kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X