Sabtu, 7 Disember 2019 | 11:47am
Keadaan kenderaan yang dinaiki 5 orang terbabit nahas dengan lori di utara Kaikoura, New Zealand yang menyebabkan tiga rakyat Malaysia maut. - Foto ihsan https://www.stuff.co.nz/

Tiga rakyat Malaysia maut, dua kritikal nahas di NZ

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia maut manakala dua lagi cedera parah selepas terbabit dalam nahas lori dan kereta di utara Kaikoura, New Zealand, semalam.

Berdasarkan laporan portal berita New Zealand, www.stuff.co.nz, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.10 petang waktu tempatan dan semua mangsa yang dipercayai mempunyai pertalian kekeluargaan dan berasal dari Sabah, menaiki kereta.

Tiga mangsa maut itu adalah orang dewasa manakala dua remaja yang dilaporkan kritikal diterbangkan ke Hospital Christchurch dan Hospital Wellington dengan helikopter bagi mendapatkan rawatan.

Kemalangan turut menyebabkan kedua-dua arah jalan di lebuh raya ditutup bagi memudahkan kerja menyelamat.

Pasukan penyelamat terpaksa memotong kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit manakala punca kejadian masih disiasat.

Sementara itu, pihak Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian itu dan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan melawat mangsa dalam masa terdekat.

Menurut satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sudah menyediakan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan urusan berkenaan berjalan dengan lancar.

"Kementerian Luar Negeri mengesahkan insiden kemalangan jalan raya membabitkan lima warganegara Malaysia sekeluarga di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand pada hari Jumaat, 6 Disember 2019 jam 3.01 petang waktu tempatan.

 

"Tiga orang daripada mangsa dilaporkan terkorban manakala dua lagi sedang menerima rawatan lanjut di hospital tempatan," katanya, hari ini.

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga dan kenalan mangsa yang terbabit dalam insiden ini.

Berita Harian X