Ahad, 8 Disember 2019 | 6:55am
Bakri (dua dari kanan) ketika sidang media selepas tamat operasi Op Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Duta, malam tadi. - NSTP/Fazrik Kamarudin
Bakri (dua dari kanan) ketika sidang media selepas tamat operasi Op Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Duta, malam tadi. - NSTP/Fazrik Kamarudin

Op Kenderaan Berat: Bukit Aman keluar 169 saman

KUALA LUMPUR: Sebanyak 169 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Kenderaan Perdagangan di Lembah Klang, semalam.

Antara kenderaan yang diperiksa adalah bas, lori dan treler.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, berkata daripada jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi 24 jam itu, 43 saman membabitkan kesalahan meletak kenderaan di lorong kecemasan.

Antara kesalahan lain yang dilakukan kenderaan perdagangan adalah tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan lain-lain kesalahan teknikal seperti tidak mempunyai lampu belakang.

“Kesalahan meletak kenderaan di lorong kecemasan ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan kemalangan dan lebih teruk mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Bila kita tanya kepada pemandu (kenderaan berat) ini, alasan yang sering diberikan adalah kerana mengantuk.

“Apabila mereka mengantuk, pemandu ini akan memberhentikan kenderaan mereka tanpa menuju ke hentian rehat dan rawat (R&R) yang sudah disediakan syarikat pengendali lebuh raya,” katanya dalam sidang media selepas tamat operasi di Plaza Tol Duta menghala ibu kota, di sini, malam tadi.

Bakri menjelaskan, tindakan segelintir pemandu terbabit memberhentikan kenderaan berat mereka di lorong kecemasan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

“Mereka tidak meletakkan sebarang tanda amaran apabila memberhentikan kenderaan mereka di lorong kecemasan.

“Mengikut statistik semasa, tindakan pemandu itu menjadi punca banyak kemalangan maut berlaku terutama kepada penunggang motosikal yang gagal mengesan kenderaan di hadapan mereka.

“Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, operasi dan penguatkuasaan akan dijalankan sehingga 9 Disember ini bagi memberi kesedaran kepada pemandu kenderaan berat,” katanya.

Berita Harian X