Isnin, 9 Disember 2019 | 6:51pm
KINSI Bilu (tiga, kanan) menunjukkan rokok yang dirampas pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM1,453,500 dalam Op Libas yang dijalankan di sebuah gudang di Batu Kitang, ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PGA Batalion 11 di Batu Kawa. - Foto BERNAMA

7,650 karton rokok seludup dianggarkan lebih RM1 juta dirampas

KUCHING: Sejumlah 7,650 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM1 juta, dirampas dalam serbuan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah gudang kosong di kawasan Batu Kitang, di sini, semalam.

Operasi kira-kira jam 2 petang itu membabitkan enam anggota PGA dengan turut disertai dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hasil risikan selama seminggu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Deputi Superintendan Kinsi Bilu, berkata rampasan itu ialah antara kejayaan terbesar pasukannya dalam 52 kes tangkapan sepanjang tahun ini.

“Gudang itu berkunci dan selepas menunggu selama satu jam, anggota operasi bertindak memecahkan mangganya.

“Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis rokok disyaki tanpa cukai kastam disembunyikan di dalam gudang berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Batalion 11 PGA, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua rokok itu yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, suspek sindiket penyeludupan itu gagal dikesan di kawasan kejadian.

“Kami percaya pemilik premis berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa ketika operasi,” katanya.

Kinsi menjelaskan, risikan sebelum ini mendapati suspek dipercayai adalah warga tempatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda maksimum 20 kali nilai barang.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam yang ada sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Berita Harian X