Rabu, 11 Disember 2019 | 7:09pm
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Datuk K sahabat Ahmad Zahid - Wasi Khan

KUALA LUMPUR: Nama suami penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, disebut dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Ishar Ahmad, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa beliau meminta pertolongan Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K, untuk mengatur pertemuan dengan Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian pada hari ke-11 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Saksi ke 21 pendakwaan itu berkata, tujuan asal perjumpaan itu adalah bagi mendapatkan bantuan mengurangkan jumlah modal berbayar daripada RM10 juta kepada RM5 juta untuk perniagaan arang batu.

Saksi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings Sdn Bhd, berkata pada pengetahuan umum, Datuk K adalah sahabat lama Ahmad Zahid.

“Pada 2015, syarikat saya memerlukan modal berbayar RM10 juta bagi memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNB Fuel), namun tidak mempunyai modal mencukupi dalam akaun.

“Oleh itu, bagi mendapatkan projek dan keperluan berdaftar dengan TNB Fuel, saya menghubungi rakan lain termasuk Datuk K, sekiranya mereka boleh meminjamkan modal berjumlah RM10 juta,” katanya.

Saksi itu, yang membacakan pernyataan saksi, berkata Datuk K bersetuju untuk membantunya dan berjumpa Ahmad Zahid, yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid memberitahu beliau tidak boleh campur tangan dalam urusan dan dasar yang TNB ditetapkan itu.

“Pun begitu, Ahmad Zahid memberi cadangan untuk mengaturkan dari segi kewangan bagi tempoh singkat.

“Buat pertama kalinya, saya dan Datuk K pergi ke pejabat Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya dan perjumpaan berlangsung hampir 20 minit.

“Kira-kira sebulan selepas itu, saya di jemput secara lisan oleh Ahmad Zahid sendiri di Taman Tasik Titiwangsa, menyuruh saya datang ke Parlimen keesokan harinya bersendirian,” katanya.

Dalam prosiding sama, Wasi berkata pada perjumpaan kali kedua itu Ahmad Zahid mengarahkan pegawai Affin Bank untuk menyerahkan cek berjumlah RM10 juta.

“Selepas menerima cek itu, saya berjumpa semula dengan Ahmad Zahid dan beliau memberi tempoh sebulan untuk saya membayar semula pinjaman itu.

“Saya meneliti butiran maklumat cek itu, ia dikeluarkan oleh Yayasan Akalbudi kepada syarikat saya, bagaimanapun Ahmad Zahid tidak memaklumkan kepada saya bahawa wang pinjaman diberikan itu adalah daripada Yayasan Akalbudi,” katanya.

Sementara itu dalam prosiding sama, ketika sesi soalan tambahan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin, saksi itu memberitahu Datuk K tidak mempunyai sebarang peranan dalam syarikatnya.

Nur Aishah Maulat : Boleh terangkan peranan Datuk K dalam Armada Holdings Sdn Bhd?

Wasi: Beliau adalah sahabat saya dan tidak ada peranan dalam syarikat itu.

Nur Aishah Maulat : Benarkah Datuk K adalah kenalan akrab dengan Ahmad Zahid?

Wasi: Ya.

Nur Aishah Maulat : Bagaimana anda tahu tentang perkara ini?

Wasi: Umum mengetahui Ahmad Zahid dan Datuk Khalid adalah sahabat lama.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Berita Harian X