Khamis, 12 Disember 2019 | 12:42pm
Anggota PPM Wilayah Dua memeriksa sebahagian daripada 171 karton minuman keras seludup yang ditemui ketika serbuan di sebuah premis di Taman Seri Orkid, Skudai di Johor, semalam. - Ihsan PPM
Anggota PPM Wilayah Dua memeriksa sebahagian daripada 171 karton minuman keras seludup yang ditemui ketika serbuan di sebuah premis di Taman Seri Orkid, Skudai di Johor, semalam. - Ihsan PPM

PPM rampas 171 karton minuman keras seludup

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 171 karton minuman keras seludup bernilai lebih RM270,000 dalam serbuan di sebuah premis di Taman Seri Orkid, Skudai, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad, berkata serbuan menerusi satu operasi Op Landai itu adalah atas maklumat dan risikan.

Katanya, dalam operasi bermula jam 9 malam itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang terbabit dalam kegiatan menjual dan membekalkan minuman keras tidak bercukai dan berlesen kepada peniaga di Johor.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemui sejumlah 171 karton pelbagai jenis minuman keras yang tidak menepati undang-undang.

“Anggaran nilai rampasan termasuk cukai yang dirampas dianggarkan berjumlah RM277,924 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d), Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semua barang rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua di sini, untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X