Jumaat, 13 Disember 2019 | 12:32pm
Gambar fail, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) hadir bagi mendengar Keputusan kes atas dakwaan menerima rasuah RM2 juta, di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur pada Oktober lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar fail, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) hadir bagi mendengar Keputusan kes atas dakwaan menerima rasuah RM2 juta, di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur pada Oktober lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Mahkamah benarkan permohonan Tengku Adnan mendapatkan pasport

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mendapatkan sementara pasportnya.

Ia bagi membolehkannya menjalani rawatan dan membuat pemeriksaan susulan di Melbourne, Australia, hujung tahun ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang membuat keputusan itu, turut menetapkan pelepasan sementara pasport Tengku Adnan bermula 23 Disember ini dan diperintah supaya dikembalikan semula pada 2 Januari depan.

“Mahkamah mengambil kira sebelum ini pemohon membuat dua permohonan sama dan pulang ke negara ini.

“Atas alasan ini, mahkamah membenarkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasport yang dikemukakan ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, memberitahu mahkamah bahawa tujuan utama permohonan dibuat kerana Tengku Adnan ingin menjalani rawatan hypertensi dan masalah tulang belakang bermula 23 Disember 2019 di sebuah hospital pakar di Melbourne.

“Anak guam (Tengku Adnan) saya sudah mendapatkan rawatan susulan dengan doktor yang sama di Melbourne sejak beberapa tahun lalu.

“Selain itu, pemohon juga perlukan masa bagi melakukan pemeriksaan susulan selepas menjalani rawatan berkenaan kesihatannya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, membantah memandangkan rawatan untuk penyakit itu boleh dijalani di sini.

Katanya, beliau juga sudah hantar e-mel bagi mendapatkan maklumat lanjut, namun doktor itu tidak dapat memberikan tarikh tepat memandangkan sudah masuk musim percutian.

“Permohonan ini lebih kukuh sekiranya terdapat butiran sokongan yang lengkap berkenaan rawatan ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60.

Ia didakwa dilalukan melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X