Selasa, 17 Disember 2019 | 11:45am
Wanita berlagak tomboy yang dicekup berkhalwat dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di Mergong, Alor Setar. - Foto ihsan JAIK

Tomboi dicekup berkhalwat

ALOR SETAR: Seorang wanita berperwatakan lelaki dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah hotel bajet di Mergong, di sini tengah malam tadi.

Kedua-duanya ditahan sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada jam 12.55 malam ketika berdua-duaan dalam sebuah bilik di hotel berkenaan.

Ketika ditahan, lelaki berusia 25 tahun itu memberi alasan menyewa bilik itu untuk berbincang, selain ingin mengajak wanita terbabit kembali ke pangkal jalan.

Bagaimanapun, wanita berambut pendek dan berusia 23 tahun itu pula memberi alasan disisih keluarga dan terpaksa menyewa di situ.

Difahamkan, pasangan itu masing-masing tinggal Mergong dan tidak jauh dari kawasan hotel bajet berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah Dan Undang-undang JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kes khalwat di hotel itu sebelum anggotanya bergegas melakukan pemeriksaan.

“Dalam pemeriksaan dijalankan, pasukan penguatkuasa menemui satu pasangan bukan mahram di bilik berkenaan. Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua mereka tinggal hanya di Mergong dan tidak jauh dari kawasan hotel bajet berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen menunjukkan mereka pasangan suami isteri atau mahram ketika ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzi berkata, pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Balai Polis Kota Setar sebelum dibawa ke pejabat Agama Daerah Kota Setar.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan oleh keluarga masing-masing sebelum dipanggil untuk perbicaraan di mahkamah. Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian X