Selasa, 17 Disember 2019 | 12:18pm
Gambar fail, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew. - Foto Eizairi Shamsudin
Gambar fail, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew. - Foto Eizairi Shamsudin

Lemas ketika menjala ikan

KANGAR: Seorang lelaki ditemui lemas ketika menjala ikan di Tebatan Banjir Wang Ulu - Tebing Tinggi, Bintong semalam.

Mangsa, Don Kipli Had, 55 dari Kampung Wang Besar ditemui terapung di sungai berkenaan oleh anak saudaranya yang keluar mencarinya pada jam 10.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata pihaknya menerima laporan daripada anak saudaranya yang berusia 30 tahun malam tadi selepas mangsa tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.

“Mengikut keterangan anak saudaranya, mangsa keluar dari rumahnya ke lokasi kejadian pada jam 3 petang semalam bagi melakukan aktiviti menjala ikan.

“Namun, sehingga lewat malam, mangsa masih tidak pulang dan anak saudaranya itu ada mencari mangsa di lokasi tetapi hanya motosikal mangsa sahaja yang ditemui,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Wari berkata, bimbang sesuatu yang buruk berlaku ke atas mangsa, anak saudaranya itu membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 malam tadi.

“Mayat mangsa ditemui terapung dan anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari sungai. Hasil pemeriksaan awal ke atas mangsa dan sekitar lokasi kejadian tidak menemui sebarang petunjuk jenayah,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Berita Harian X