Rabu, 18 Disember 2019 | 1:24pm
Najib hadir pada prosiding bela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Najib tidak tahu ada RM32 juta dalam akaun

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengetahui terdapat wang berjumlah RM32 juta yang dipindah masuk ke dalam akaun peribadinya.

Najib yang memberikan keterangan pada perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, berkata ini disebabkan akaunnya diuruskan oleh pihak ketiga.

Najib dalam keterangan bela dirinya berkata, individu yang mengendalikan akaun bank miliknya sudah pasti akan memaklumkan jika terdapat transaksi yang mencurigakan.

Tambahnya lagi, pihak bank juga sepatutnya akan memaklumkan kepada beliau sebagai pemilik akaun jika terdapat transaksi wang keluar masuk yang mencurigakan.

Najib berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram sama ada Najib tahu mengenai kemasukan wang itu.

“Saya tidak menguruskan akaun saya sendiri. Mereka yang menguruskan akaun saya sepatutnya lebih tahu,” jawab Najib.

Prosiding hari ini kerap menyaksikan pertikaman lidah di antara Najib dan Sithambaram ketika persoalan mengenai kesahihan tandatangan bekas perdana menteri itu dalam dokumen SRC dibangkitkan pendakwaan.

Pertikaman lidah itu bermula apabila Najib tidak menjawab dengan terus soalan Sithambaram yang hanya menghendaki jawapan “ya” atau “tidak” sebaliknya sentiasa mahu menjelaskan dengan lanjut.

Sithambaram: Ketika kamu dalam siasatan SPRM, kamu ditunjukkan satu salinan dokumen yang mengandungi tandatangan kamu. Kamu mengesahkan tandatangan itu tanpa sebarang bantahan pada peringkat itu.

Najib: Pada peringkat itu.

Sithambaram: Jadi selepas duduk di mahkamah dan mendengar pemeriksaan balas oleh peguam kamu, kamu katakan, ini bukan tandatangan kamu?

Najib: Benar

Sithambaram: Kamu setuju apabila ditunjuk salinan (dalam siasatan SPRM) itu tandatangan kamu di mana ia sebelum peguam beritahu kamu? Ya atau tidak?

Najib: Ia dilihat seolah-olah tandatangan saya. Ketika itu ... kerana itu saya mahu mengesahkan dokumen dengan memanggil pakar.

Sithambaram: Saya hanya mahu jawapan ya atau tidak. Bukan penafian.

Berita Harian X