Ahad, 22 Disember 2019 | 7:11pm
TIGA tangki berisi kapasiti keseluruhan 18,000 liter diesel berjaya diselamatkan daripada letupan susulan tindakan cekap anggota bomba mengawal kebakaran, dalam kejadian di Kampung Beladin. NSTP/Ihsan BOMBA
TIGA tangki berisi kapasiti keseluruhan 18,000 liter diesel berjaya diselamatkan daripada letupan susulan tindakan cekap anggota bomba mengawal kebakaran, dalam kejadian di Kampung Beladin. NSTP/Ihsan BOMBA

Tindakan pantas kawal kebakaran berjaya elak 3 tangki diesel meletup

KUCHING: Tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran di Kampung Beladin, Pusa, malam tadi, berjaya mengelakkan tiga tangki diesel berkapasiti keseluruhan 18,000 liter daripada turut dijilat api dan meletup.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata insiden kira-kira jam 10 malam menyebabkan dua rumah separuh kekal yang disewa Pertubuhan Nelayan Beladin, hangus sepenuhnya.

Beliau berkata, kebakaran itu turut memusnahkan 40 peratus struktur bangunan Pusat Internet Kampung Beladin.

“Pihak bomba menerima laporan kecemasan pada jam 10.10 malam sebelum bertindak pantas mengawal api daripada merebak ke tiga tangki minyak diesel yang berada dalam jarak kira-kira enam meter dari rumah sewa berkenaan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.51 malam, manakala seorang mangsa dapat menyelamatkan diri dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ling Hii berkata, seramai tujuh anggota diketuai Jusmandi Jamaie dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran itu.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.02 pagi tadi dengan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Berita Harian X