Rabu, 25 Disember 2019 | 4:19pm

Lemas terjatuh ke laut

LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lemas selepas terjatuh ke laut dalam kejadian di rumah neneknya di Kampung Patau-Patau 1, di sini petang semalam.

Kejadian menimpa mangsa, Muhamad Aidan Hakimi Mohd Reduan disedari selepas mayatnya ditemui terapung oleh ahli keluarganya kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.58 petang semalam.

“Laporan kematian mangsa dibuat oleh bapanya, dengan punca kejadian adalah disebabkan terjatuh ke laut di rumah neneknya.

“Mangsa ditinggalkan sementara di rumah neneknya kerana kedua ibu bapa mangsa pergi ke bandar untuk menyelesaikan beberapa urusan di bank,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Muhamad Farid berkata, bapa mangsa menyatakan anaknya itu dijaga oleh seorang wanita berusia 20 tahun yang juga adik iparnya.

“Adik iparnya tidak sedar bahawa mangsa bermain di beranda dan terjatuh ke laut.

“Kejadian hanya disedari selepas seorang daripada anggota keluarga mereka yang baru pulang dari kerja terlihat mangsa terapung di bawah rumah,” katanya.

Katanya, mangsa cuba diselamatkan, namun tidak berjaya sebelum dibawa ke Hospital Nukleus Labuan.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Matar kemudian dibawa ke unit forensik untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X