Ahad, 29 Disember 2019 | 4:12pm
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor, Tuan Mohd Shukri Tuan Yahya bersama pegawai memeriksa 5,079,200 batang rokok seludup yang bernilai lebih RM3.1 juta termasuk cukai yang dirampas di dalam sebuah lori treler ketika serbuan di Kampung Belimbing dekat Tanah Merah. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor, Tuan Mohd Shukri Tuan Yahya bersama pegawai memeriksa 5,079,200 batang rokok seludup yang bernilai lebih RM3.1 juta termasuk cukai yang dirampas di dalam sebuah lori treler ketika serbuan di Kampung Belimbing dekat Tanah Merah. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kastam jumpa rokok seludup RM3 juta dalam lori

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menemui 5,079,200 batang rokok seludup dalam sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Belimbing, dekat Tanah Merah, kelmarin.

Anggaran rampasan pada jam 8.15 pagi itu ialah RM3.1 juta termasuk cukai.

Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud, berkata terdahulu, pihaknya mendapati sebuah lori jenis Hino bernombor pendaftaran tempatan ditinggalkan di tepi jalan.

Katanya, pemandu lori dipercayai sudah melarikan diri selepas mengesan kehadiran pihak penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan menemui 490 kotak rokok berisi 5,079,200 batang rokok jenama Luffman dan Pine berada dalam lori yang ditutup dengan kanvas.

“Rokok itu disyaki dibawa masuk secara haram dari negara jiran ke Malaysia melalui sempadan Sungai Golok untuk pasaran di luar Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, JKDM sedang mengesan pemilik lori yang dirampas untuk mengaitkan pemilikan rokok dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Rakbi berkata, pada jam 9.15 malam semalam, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis di Kota Bharu dan berjaya menjumpai sebanyak 334,240 batang rokok pelbagai jenama.

“Rokok yang dirampas bernilai lebih RM300,000 termasuk cukai.

“Kita juga menahan seorang lelaki warga Thailand yang berada dalam premis untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang kes atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang kes atau RM 500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X