Rabu, 1 Januari 2020 | 2:46pm
ARSAD Md Ariffin (kanan) dan menantunya, Muhammad Noor Hamdan Ahmad Zahari menunjukkan keadaan rumah dan kereta mereka yang musnah dalam kebakaran di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan. NSTP/Noor Hidayah Tanzizi.

Tragedi malam tahun baru

SITIAWAN: Mercun bagi meraikan ambang tahun baharu dipercayai punca rumah dihuni enam beranak di Taman Mas, Kampung Koh, di sini, terbakar.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam tadi, sebuah kereta Perodua Viva dan dua motosikal turut terbakar.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Noor Hamdan Ahmad Zahari, 32, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Aishah Nadia Ashiqin Arsad, 30, serta ibu mentua, Sarimahtun Saadiah Mohd Kasim, 62, sedang tidur di rumah.

Katanya, tiga lagi ahli keluarga lain termasuk bapa mentuanya yang juga pemilik rumah, Arsad Md Ariffin, 60, tiada di rumah ketika kejadian.

“Kejadian disedari isteri yang terbau asap. Selepas melihat ada api, saya bersama isteri yang mengandung enam bulan terus keluar dari rumah, namun kami masuk semula selepas melihat ibu mentua tiada di luar.

“Kami bersyukur dapat membawa keluar emak yang tidur di bilik belakang, namun isteri terpaksa ditahan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung kerana mengalami masalah pernafasan akibat terhidu asap namun keadaannya stabil,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Muhammad Noor Hamdan, berkata api bermula dari luar rumah dan dipercayai berpunca mercun kerana pada ketika itu ada dua atau tiga individu tidak dikenali bermain mercun berhampiran kawasan rumahnya.

“Memang tidak boleh nak tidur dan beberapa kali saya terdengar bunyi letupan mercun dan mungkin itu yang menjadi puncanya kerana di luar tiada pendawaian (elektrik) dan hanya ada kereta, motosikal dan sofa.

“Selain motosikal dan kereta, semua kelengkapan rumah serta barang kelengkapan bayi pertama kami juga musnah terbakar dan saya hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta dan motosikal saja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 12.13 tengah malam.

“Rumah berkenaan dan sebuah kereta serta dua motosikal musnah terbakar 90 peratus dan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadam sepenuhnya kebakaran itu.

“Operasi tamat jam 2.17 pagi, operasi pemadaman turut membabitkan BBP Seri Manjung dan Pasukan Bomba Sukarela Ayer Tawar,” katanya yang memaklumkan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X