Khamis, 2 Januari 2020 | 11:06am
MAQIS merampas 40kg akar kayu di klia2. - Ihsan MAQIS
MAQIS merampas 40kg akar kayu di klia2. - Ihsan MAQIS

MAQIS rampas 40kg akar kayu China

SEPANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 40 kilogram (kg) akar kayu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2 ) hari ini.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin, berkata hasil pemeriksaan mesin imbasan pihak Kastam pada jam 12.30 tengah malam itu menemui akar kayu yang cuba dibawa masuk oleh seorang lelaki dari China.

“Individu itu gagal mengemukakan dokumen yang sah seperti Permit Import (IP) yang dikeluarkan oleh MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Semua akar kayu yang dibawa masuk bagi tujuan perubatan tradisional itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta MAQIS 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam negara adalah bebas daripada sebarang ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Ini supaya tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan serta kesihatan makanan.

Berita Harian X