Khamis, 2 Januari 2020 | 5:45pm

RM3.7 juta rokok seludup dirampas

KUCHING: Polis Sarawak melakar kejayaan besar awal tahun ini dengan menumpaskan sindiket penyeludupan rokok di tiga lokasi di negeri ini dan merampas rokok pelbagai jenis bernilai RM3.7 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din, berkata kejayaan itu hasil intipan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tempoh dua minggu hingga sebulan lalu.

Rampasan terbesar dilakukan dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Tabuan Jaya di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam di mana 9,800 karton rokok pelbagai jenis ditemui.

“Serbuan itu dilancarkan sepasukan 17 anggota Batalion 11 PGA, yang disertai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan dalam serbuan itu dan semua rampasan bernilai RM2.35 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, di Kem Batu Kawa di sini, hari ini.

Ramli berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Rampasan kedua pula dilakukan tujuh anggota Batalion 11 PGA di pekan Batu 10, semalam dan 1,123 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM303,000 ditemui disimpan di dalam sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan.

Beliau berkata, rampasan ketiga dilakukan anggota Batalion 10 PGA di Sarikei pada jam 1.30 tengah hari, hari ini dan 4,220 karton rokok pelbagai jenis ditemui.

“Serbuan ketiga di sebuah rumah di Sarikei itu juga tidak menemui suspek dan nilai rampasan dianggarkan RM1.9 juta.

“Rokok putih dipercayai diseludup melalui laut manakala rokok keretek dari negara jiran melalui jalan darat, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber rokok seludup itu,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis rokok yang dirampas dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Briged Sarawak PGA, Batu Kawa, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X