Sabtu, 4 Januari 2020 | 9:38am
Gambar fail, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Gambar fail, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Virus jangkitan influenza dalam julat normal

KUALA LUMPUR: Peningkatan jangkitan influenza di Malaysia direkodkan berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata analisa oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan tiada aktiviti survelan yang mengalami mutasi sehingga mencetuskan virus influenza yang baharu (novel virus).

Bagaimanapun, katanya, beberapa langkah perlu diambil khususnya terhadap kanak-kanak di bawah lima tahun.

“Jika terdapat keperluan guna ubat paracetamol mengikut dos yang tepat di samping mendemah kepala, kaki dan badan dengan tuala basah.

“Elak memberi ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana ia boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak, berdasarkan bukti klinikal.

“Minum air secukupnya dan jumpa doktor jika demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala seperti selesema, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan lesu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang dijangkiti dinasihati supaya tidak berkunjung ke tempat tumpuan ramai dan memakai penutup muka jika ke tempat awam.

“Tutup hidung dan mulut jika batuk dan bersin. Elak berkongsi peralatan peribadi seperti tuala dan sapu tangan.

“Kerap basuh tangan menggunakan sabun dan hand sanitizer dan mengamalkan adab batuk yang baik serta gaya hidup yang sihat,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X